Sunday, February 13, 2011

Indahnya Tawau: Pokok Tropika Tertinggi di Dunia

Pada 2006, saintis dari Amerika Syarikat Dr Roman Dial bersama dua rakannya memanjat sebatang pokok Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) di Taman Bukit Tawau.
Tujuannya untuk mengetahui setepat yang boleh ketinggian sebenar pokok Hutan Hujan Tropika yang terletak di dalam kawasan hutan simpan berkeluasan kira-kira 28,000 hektar berkenaan.
Dengan meletakkan hujung pita pengukur di bahagian tertinggi pokok Seraya Kuning Siput itu, Dr Dial, seorang profesor Biologi dan Matematik di Alaska Pacific University, akhirnya berjaya merekodkan ketinggian pokok berkenaan iaitu 88.32 meter.
Berdasarkan perjalanannya ke pelbagai kawasan Hutan Hujan Tropika di merata tempat di dunia termasuk Amerika Latin, khususnya Lembah Amazon, beliau mendapati bahawa pokok Seraya Kuning Siput, Taman Bukit Tawau berkenaan merupakan pokok tropika yang tertinggi di dunia.
Selepas berjaya mengukur ketinggian pokok Seraya Kuning Siput berkenaan, dia dan pasukannya terus mencari beberapa spesies pokok tropika lain dan akhirnya, tujuh lagi pokok tropika dengan ketinggian melebihi 80 meter ditemui di sekitar hanya dua kilometer persegi di dalam hutan simpan berkenaan.
Hasil ekspedisi Borneo Dr Dial dan rakan-rakannya untuk merekodkan pokok Hutan Hujan Tropika tertinggi itu dirakamkan dalam majalah National Geographic, keluaran Julai 2006.

HUTAN SIMPAN
Meskipun pokok Seraya Kuning Siput di Taman Bukit Tawau itu cuma di tempat ke-10 berbanding ketinggian spesies pokok lain di dunia namun ia tetap membanggakan kerana pokok ini masih tertinggi di dunia dalam kategori spesies tropika.
Pokok hidup tertinggi di dunia yang berjaya ditemui setakat ini ialah dari spesies pokok ‘redwood’ atau ‘Sequoia sempervirens’ di Hutan Redwood, Taman Negara Redwood di California, Amerika Syarikat, dengan ketinggian 115.55 meter.
Sementara itu, daripada senarai 25 pokok pelbagai spesies tertinggi di dunia yang dikeluarkan pada 2007, didapati 11 pokok daripadanya terdapat di Taman Bukit Tawau dengan kesemuanya mencapai ketinggian melebihi 80 meter.
Pada masa ini, pokok tropika tertinggi di dunia itu menjadi tumpuan setiap pelawat dalam dan luar negara yang datang ke Taman Bukit Tawau malah lawatan boleh dianggap tidak lengkap jika tidak melihat sendiri pokok berkenaan.

Credit to: Puadede.Com

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More